Selasa, 02 April 2013


AirAsia beli pesawat A320 RM29.14 bilion 
               AirAsia  beli pesawat A320 RM29.14 bilion
Dari kiri Tony Fernandes, Kamarudin, Cameron, David Jones (Menteri Wales); Fabrice Brégier (Ketua Pegawai Eksekutif Airbus dan John Leahy (Ketua Pegawai Operasi Pelanggan) ketika mengumumkan tempahan 100 pesawat A320 di Broughton, United Kingdom, semalam. Syarikat muktamadkan perjanjian tempahan baru 100 unit

AIRASIA Bhd terus mengukuhkan kehadirannya di Asia apabila memuktamadkan perjanjian untuk menempah 100 lagi pesawat Airbus A320.

Harga katalog bagi semua 100 pesawat itu ialah AS$9.4 bilion (RM29.14 bilion).
Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes ketika mengumumkannya berkata, langkah itu adalah sebahagian strategi AirAsia untuk mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan tambang murah terbaik di Asia menerusi penambahan laluan baru dan peningkatan frekuensi yang menyeluruh.


Beliau berkata, tempahan baru itu meningkatkan jumlah tempahan pesawat AirAsia kepada 475 unit, dengan 100 daripadanya sudah diterima setakat ini.

Katanya, tempahan baru itu yang merangkumi 36 pesawat A320 dengan kapasiti ‘Current Engine Option (CEO)’ dan 64 yang dilengkapi New Engine Option (NEO) adalah bagi mengembangkan penguasaan pasaran teras AirAsia, iaitu di Malaysia, Thailand dan Indonesia, serta pasaran yang baru diterokanya iaitu Jepun dan Filipina.

Ia juga kata beliau, akan meningkatkan capaian syarikat penerbangan itu ke pasaran yang mempunyai penduduk ramai seperti China dan India.

"Tempahan baru ini sejajar dengan strategi memperluaskan rangkaian penerbangan kami menerusi pelancaran laluan baru dan penambahan frekuensi, sekali gus membolehkan AirAsia mengekalkan penguasaan pasaran terutama di Malaysia dan Thailand.
Catat pertumbuhan kukuh

"Di Malaysia, kami berdepan pelbagai cabaran dalam tempoh 10 tahun lalu, tetapi AirAsia terus mencatatkan pertumbuhan kukuh daripada segi muatan dan pendapatan. Kunci kejayaan kami adalah kerana fokus dan disiplin yang diukur dari aspek kos dan model perniagaan," katanya kepada sidang media di sini, semalam.

Tempahan 100 pesawat Airbus A320 itu diumumkan sempena lawatan Perdana Menteri Britain, David Cameron, ke kilang pembuatan sayap pesawat Airbus di Broughton, United Kingdom.

Pada majlis pemeteraian perjanjian tempahan itu, Tony mewakili Kumpulan AirAsia manakala Airbus diwakili oleh Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Fabrice Brégier. Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

Tony berkata, AirAsia Thailand telah menyaksikan pertumbuhan pantas bagi penumpangnya dan berada pada landasan untuk menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan AirAsia selepas operasi di Malaysia.

"Memandangkan AirAsia Jepun dan AirAsia Filipina adalah unit penerbangan baru bagi Kumpulan AirAsia, tumpuan kami kini adalah bagaimana untuk meningkatkan keuntungan, mengekalkan kos yang rendah dan memastikan AirAsia terus menjadi pilihan utama di pasaran berkenaan," katanya.

Penghantaran bagi 36 pesawat Airbus A320 CEO yang ditempah AirAsia itu adalah sehingga 2016, dengan dua daripadanya akan diterima AirAsia tahun depan; empat pesawat (2014); 22 pesawat (2015) manakala lapan lagi pada 2016.

Sementara itu, 64 pesawat Airbus A320 NEO akan mula dihantar bermula 2017 membabitkan lapan pesawat; 14 pesawat (2018); 15 pesawat (2019); 14 pesawat (2020) dan 13 lagi pada 2021.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar